Perancang tengah Terengganu FC, Liridon Krasniqi mempamerkan persembahan yang cukup mengujakan sungguhpun hasrat pasukannya layak ke pentas akhir terlerai.
Pemain kelahiran Kosovo itu diturunkan dalam kesebelasan utama skuad Peteh dan membentuk gandingan yang baik bersama Habib Haroon dan Engku Shakir.
Bekas bintang Kedah ini mempamerkan persembahan yang cukup meyakinkan segelah melalui beberapa perlawanan yang kurang konsisten dalam saingan Liga Super.
Beliau dilihat tampil dengan penuh bertenaga untuk menggerakkan rancangan Terengganu dengan memainkan peranan selaku pemain tengah ‘box to box’.
Pemain berusia 32 tahun itu juga banyak mencipta peluang buat pemain sayap pasukan, Sony Norde yang hampir-hampir meledak gol pembukaan tuan rumah.
Bintang pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) ini juga mempamerkan keberanian untuk melakukan beberapa percubaan bagi menguji gawang gol yang dikawal Azim Al-Amin.
Kerja keras beliau menyaksikan bahagian tengah perlawanan lebih banyak dikuasai oleh Terengganu sehingga memaksa pasukan lawan bermain lebih bertahan.
Aksi baik yang ditampilkan oleh pemain tinggi lampai ini bagaimanapun tidak dapat mengubati kekecewaan pasukan apabila Terengganu tewas menerusi sepakan penalti.
Liridon juga terlepas peluang keemasan untuk membawa pasukannya ke pentas akhir apabila sepakan beliau berjaya diselamatkan oleh Azim.
KL City mencatatkan kemenangan 4-2 sekaligus mara ke final sambil menanti Selangor atau JDT yang bakal bertempur hari ini.