Kelayakan Piala Asia B-20 · Perlawanan Ke-3 Kumpulan H
Malaysia
8:00 PM
MYT
Laos
6 September 2026
Stadium Nasional Laos, Vientiane
Bermula dalam

Live: Malaysia vs Laos – Kelayakan Piala Asia B-20

Saluran TV & live streaming rasmi

Malaysia vs Laos

Pratonton perlawanan

Tonton aksi Malaysia vs Laos dalam perlawanan penting Kelayakan Piala Asia B-20 secara langsung dari Vientiane, Laos.

Skuad B-19 negara bakal berdepan Laos dalam aksi terakhir Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-20 2027 di Vientiane, Laos pada Ahad, 6 September 2026, dengan kemenangan menjadi sasaran utama bagi memastikan peluang ke pentas Asia terus terbuka. 

Malaysia kini mengumpul dua mata selepas mencatat keputusan seri 0-0 menentang Indonesia sebelum sekali lagi berkongsi mata ketika mengikat Australia 2-2 dalam aksi kedua yang berlangsung pada Khamis lalu. 

Keputusan 2-2 menentang Australia boleh dianggap sebagai keputusan positif buat anak buah Shukor Adan selepas mereka bangkit untuk mengikat juara bertahan tersebut, namun satu mata itu menyebabkan Malaysia perlu memberikan segala-galanya ketika berdepan Laos. 

Dalam masa sama, Indonesia berada di puncak Kumpulan H dengan empat mata selepas menewaskan Laos 3-0, manakala Australia turut mengumpul empat mata dan hanya dipisahkan dengan perbezaan jaringan, sementara Laos berada di dasar kumpulan tanpa sebarang mata. 

Situasi tersebut menjadikan aksi terakhir cukup menarik kerana Malaysia berpeluang menamatkan kempen dengan lima mata sekiranya berjaya menewaskan Laos, sekali gus meletakkan skuad negara dalam kedudukan terbaik untuk memburu salah satu tiket ke Piala Asia B-20 2027.

Namun begitu, Malaysia tidak boleh terlalu selesa hanya kerana Laos sudah tersingkir daripada persaingan selepas tewas 0-2 kepada Australia dan 0-3 kepada Indonesia dalam dua aksi terdahulu. 

Malah, kemenangan besar Indonesia ke atas Laos menunjukkan skuad negara perlu mencari tiga mata sambil memberikan perhatian terhadap jumlah jaringan kerana perbezaan gol boleh menjadi faktor penting dalam menentukan kedudukan naib juara kumpulan serta persaingan tujuh naib juara terbaik.

Format kelayakan kali ini menyaksikan juara setiap kumpulan dan tujuh naib juara terbaik layak ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2027 di China, selain tuan rumah yang mendapat tempat secara automatik. 

Justeru, misi Malaysia pada Ahad cukup jelas iaitu wajib menang ke atas Laos, sebelum menanti keputusan pertembungan Australia dan Indonesia bagi menentukan kedudukan akhir Kumpulan H serta peluang sebenar untuk menempah tiket ke pentas Asia.

Selepas mempamerkan semangat juang tinggi ketika bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Australia, Harimau Muda kini perlu menterjemahkan momentum tersebut kepada kemenangan agar kempen Kelayakan Piala Asia B-20 2027 tidak berakhir dengan penyesalan.

Berita berkaitan