Misi Malaysia B-19 Ke Asia Terbuka, Dua Negara Intai Peluang
MakanBola
AFC Asian Cup/Timnas Indonesia

Impian Malaysia untuk melangkah ke Piala Asia B-20 masih menyala meski pasukan pencabar, Indonesia melakar kemenangan besar ke atas Laos dalam aksi kedua Kumpulan H pada Khamis.

Malaysia B-19 yang dibimbing oleh Shukor Adan turun berdepan Australia dengan misi mencabar untuk memburu kemenangan pertama setelah terikat seri tanpa jaringan ketika bertemu Indonesia pada perlawanan pertama lalu.

Pasukan muda negara ketinggalan seawal minit ke-4 menerusi gol Marcus Neill yang memanfaatkan situasi bola mati yang diberikan untuk Australia sebelum perlawanan dihentikan sekitar 2 jam akibat cuaca buruk di venue.

Kebangkitan dicapai sebaik separuh masa kedua bermula apabila Fadhlul Hadi serta Izzudddin Afif berhasil meletakkan Malaysia B-19 di hadapan, namun gol lewat Alaat Abdul Rahman melegakan skuad muda Australia ini.

Sementara satu lagi perlawanan kumpulan H berakhir dengan kemenangan 3-0 memihak Indonesia mengatasi Laos dengan Zahaby Gholy serta Fabio Azka masing-masing melakar nama selaku penjaring buat pasukan Garuda Muda.

Hasil kedua-dua aksi menyaksikan Indonesia kini menerajui tangga teratas kumpulan H dengan mengutip 4 mata selepas dua perlawanan, diikuti oleh Australia B-19 yang turut mengumpul jumlah mata yang sama pada ketika ini.

Sementara, Malaysia masih memiliki peluang ke pusingan akhir Piala Asia B-20 walaupun berada di tangga ketiga kumpulan H, dengan kutipan cuma dua mata hasil dua keputusan seri yang dicatat dalam dua perlawanan awal.

Perlawanan terakhir kumpulan bakal menemukan Malaysia B-19 dan Laos pada Ahad dengan kemenangan amat mustahak buat pasukan muda negara ini bagi melangkah ke pentas Asia, sambil menantikan keputusan Australia vs Indonesia.