Advertisements
Lucas Kembali Perkuat Sri Pahang Lebih Awal Daripada Jangkaan
Liga Super
MakanBola
Sri Pahang FC

Khabar gembira buat kem Sri Pahang, apabila penyerang import Lucas da Silva kembali memperkuatkan pasukan lebih awal daripada jangkaan.

Pemain itu sebelum ini dijangka akan tersisih lama berikutan kecederaan lutut dialami ketika pra-musim tempoh hari, namun sesi pemulihannya berjalan lancar dan dia kini sudahpun kembali menjalani latihan.

Justeru, Lucas sudah tidak sabar untuk membuat penampilan sulungnya musim dan membantu Sri Pahang meneruskan rentak positif.

“Ya, saya dah kembali berlatih dan rasa lebih baik daripada sebelum ini di mana otot di bahagian lutut saya juga semakin kuat.

“Sekarang saya rasa lebih yakin dan pergerakan juga semakin baik, jadi harapnya semua akan berjalan lancar untuk aksi seterusnya nanti.

“Rasa sakit pun dah tiada, cuma saya tidaklah mahu terlalu paksa diri, tetapi ianya sudah cukup baik kalau jurulatih bagi peluang saya bermain hanya untuk 20 hingga 30 minit sahaja.

“Saya serahkan semuanya kepada beliau untuk menentukan dan fokus saya adalah untuk terus cergas supaya dapat kembali seperti biasa”, kata pemain dari Brazil itu.

Dia juga memuji impak Kpah Sherman yang menjadi sandaran tunggal di barisan depan sepanjang ketiadaannya.

“Saya bekerja dengan cukup kuat pada awalnya sebelum cedera dan sekarang melihat rakan-rakan juga telah melakukan tugas dengan baik, saya rasa bangga.

“Pada awalnya, memang semua orang menjangkakan saya dan Kpah (Kpah Sherman) akan menjadi gandingan yang baik, tetapi apabila saya cedera, mereka yang lain juga tetap beraksi dengan baik.

“Tetapi, saya tidak putus asa dan apabila saya dah kembali berlatih, rakan-rakan yang lain tetap beri semangat untuk saya dapatkan balik keyakinan diri”, ujarnya lagi.