Luis Garcia: Ayuh Kita Cipta Rekod Dunia Jumaat Ini
MakanBola
Johor Southern Tigers

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia tidak sabar melihat pasukan itu mencipta rekod dunia pada 21 Ogos ini.

Tarikh tersebut menyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih antara JDT dan naib juara Liga Super musim lalu, Kuching City FC. Perlawanan ini bukan saja peluang buat kedua-dua pasukan meraih trofi pertama musim ini dan tiga mata penuh.

Malah, aksi ini juga merupakan peluang buat JDT mencipta rekod baru untuk siri perlawanan tanpa kalah paling panjang di dunia. JDT dan ASEC Mimosas kini berkongsi rekod terpanjang iaitu 108 perlawanan.

Jika Harimau Selatan berjaya menewaskan The Cats, ini bakal memastikan nama pasukan itu tercatat dalam lembaran sejarah bola sepak dunia. Garcia menyifatkan detik ini sebagai detik paling bermakna buat JDT.

“Ia menakjubkan bahawa kami kini berada di ambang untuk mencipta rekod dunia bagi rekod tanpa kalah terpanjang di dalam liga, sesuatu yang telah bermula sejak 2021.

“Saya pernah bermain dan menyaksikan banyak pasukan yang dominan sepanjang karier saya di Eropah, jadi saya tahu betapa sukarnya untuk kekal tanpa kalah tidak kira sekuat mana sesebuah pasukan itu.

“Semua orang mahu menewaskan anda dan menganggap setiap perlawanan menentang anda seperti satu perlawanan akhir, sama seperti yang berlaku kepada JDT,” katanya seperti dikongsikan Johor Southern Tigers.

Garcia turut menyeru barisan anak buah Xisco Munoz untuk merealisasikan misi memintas rekod ASEC Mimosas sekali gus mengharumkan lagi nama Johor dan Malaysia di pentas dunia.