Luis Garcia Impi Malaysia Layak Ke Piala Dunia
MakanBola
Johor Southern Tigers

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim (JDT), Luis Garcia berharap dapat melihat Malaysia layak ke Piala Dunia satu hari nanti.

Harapan itu dizahirkan beliau dalam satu temu bual bersama portal Give Me Sport baru-baru ini. Garcia melihat Malaysia berpeluang layak ke kejohanan berprestij itu kerana bilangan pasukan yang layak semakin bertambah.

Piala Dunia 2026 yang baru melabuhkan tirainya pada Julai lalu menyaksikan 48 pasukan bertanding. Angka itu bertambah daripada 32 pasukan yang beraksi dalam edisi 2022 di Qatar.

Garcia melihat perkara ini boleh direalisasikan dengan syarat kualiti Liga Super terus ditambah baik. Apabila Liga Super menjadi lebih kuat, ini akan meningkatkan peluang Harimau Malaya cemerlang di peringkat antarabangsa.

“Dengan bilangan pasukan ke Piala Dunia semakin bertambah, Malaysia mampu bermimpi untuk tampil dalam kejohanan itu buat kali pertama.

“Apabila Liga Super menjadi lebih kuat, peluang untuk perkara ini berlaku juga menjadi lebih baik. Saya cuma berada di sini selama setahun dan perasaan saya, kenapa tidak Malaysia layak ke Piala Dunia? Itu seharusnya menjadi matlamat,” katanya.

Garcia turut menyentuh tentang prospek kejayaan bekas rakan sepasukan, Xabi Alonso bersama Chelsea dan Liverpool di bawah bimbingan bekas pengurus Bournemouth, Andoni Iraola.