Bekas jurulatih Bournemouth, Andoni Iraola semakin hampir untuk disahkan sebagai pengurus Liverpool yang baharu.
Selepas The Reds sah memecat pengurus Belanda, Arne Slot, pengurusan kelab Merseyside itu pantas memulakan rundingan untuk mendapatkan bekas jurulatih Rayo Vallecano itu.
Ini ditambah dengan Iraola berada dalam radar bekas juara Bundesliga musim 2023/24, Bayer Levekusen dan juara The Emirates FA Cup musim 2024/25, Crystal Palace.
Kini, wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano memaklumkan jurulatih berusia 43 tahun itu sudah mencapai persetujuan dengan pengurusan Liverpool untuk menjadi pengganti Slot.
Sekiranya semua berjalan lancar, Iraola bakal menjadi pengurus Sepanyol kedua membimbing The Reds selepas Rafael Benitez. Beliau juga dijangka kembali bekerjasama dengan bek kiri Hungary, Milos Kerkez.
Kerkez pernah beraksi di bawah bimbingan Iraola selama dua musim sebelum berhijrah ke Anfield pada musim lalu.
Bekas jurulatih Bournemouth itu dilihat menjadi pilihan kerana corak permainan yang diterapkan beliau lebih menyerang meskipun bila berdepan kelab besar.
Ini dilihat selari dengan kehendak pengurusan Liverpool yang mahu mengembalikan falsafah permainan tersebut ke dalam pasukan untuk musim hadapan.
Walaupun terpaksa menjual pemain saban musim, itu tidak menghalang Iraola membimbing Bournemouth merekodkan kedudukan baik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Musim 2025/26 menyaksikan The Cherries menamatkan musim di tangga keenam sekaligus layak ke Liga Europa UEFA (UEL) musim hadapan. Ini juga kedudukan terbaik Bournemouth dalam sejarah kelab sejak beraksi dalam EPL.