Liverpool FC secara rasmi mengumumkan perpisahan dengan ketua jurulatih, Arne Slot, berkuat kuasa serta-merta selepas dua musim mengendalikan kelab gergasi England itu.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi kenyataan rasmi kelab yang turut memaklumkan proses mencari pengganti Arne Slot sedang dijalankan bagi meneruskan hala tuju baharu pasukan.
Slot yang menyertai Liverpool pada Jun 2024 mencipta impak segera apabila berjaya menghadiahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris ke-20 dalam sejarah kelab pada musim pertamanya. Kejayaan itu turut menyaksikan beliau dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik LMA bagi musim 2024-25.
Selain menjulang trofi liga, pengendali dari Belanda itu turut membawa Liverpool mara ke pentas final Piala Liga (Carabao Cup) serta pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah.
Pada musim 2025-26, Slot sekali lagi memastikan Liverpool layak ke Liga Juara-Juara buat musim kedua berturut-turut sambil membimbing pasukan mara sehingga suku akhir kejohanan berprestij Eropah itu.
Dalam kenyataan bersama pemilik Liverpool, mereka menzahirkan penghargaan tinggi terhadap sumbangan besar Slot sepanjang tempohnya di Anfield.
“Keputusan ini bukan sesuatu yang mudah untuk dibuat. Sumbangan Arne kepada Liverpool FC sangat besar, bermakna dan yang paling penting, berjaya.
“Beliau merupakan seorang pemimpin yang sentiasa menerima dan memikul tanggungjawab sepenuhnya. Ia jelas dilihat sejak beliau mengambil alih pasukan, membawa kami menjuarai Liga Perdana Inggeris dan mengharungi pelbagai cabaran sepanjang musim yang lalu,” menurut kenyataan tersebut.
Pihak kelab turut menegaskan keputusan berpisah dengan Slot bukan disebabkan kekurangan dari segi kemampuan atau bakat beliau sebagai jurulatih.
Sebaliknya, Liverpool percaya perubahan arah diperlukan bagi memastikan perkembangan dan kemajuan pasukan dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Kesimpulan yang kami capai adalah berdasarkan kepercayaan bahawa trajektori pasukan ketika ini lebih sesuai ditangani melalui perubahan hala tuju.
“Ia tidak mengurangkan penghargaan kami terhadap kerja yang telah dilakukan Arne atau rasa hormat yang kami miliki terhadapnya. Sebaliknya, ia mencerminkan keperluan kepada pendekatan yang berbeza,” tambah kenyataan itu.
Liverpool turut mengakui peranan penting Slot ketika kelab berdepan saat sukar susulan pemergian tragis penyerang Portugal, Diogo Jota, dengan sifat kemanusiaan dan kepimpinan yang ditunjukkannya mendapat pujian tinggi daripada pihak pengurusan.
Sebagai penghargaan, Liverpool menegaskan nama Arne Slot akan sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam sejarah kelab sebagai jurulatih yang membawa pulang gelaran liga ke-20.
Beliau meninggalkan Anfield dengan rekod membanggakan, termasuk satu kejuaraan Liga Perdana Inggeris, selain penghormatan dan penghargaan daripada seluruh warga Liverpool.
“Arne meninggalkan kelab ini dengan rasa terima kasih daripada kami semua, bersama gelaran Liga Perdana Inggeris atas namanya dan pengetahuan bahawa beliau serta keluarganya akan sentiasa dialu-alukan kembali ke Anfield,” kata Liverpool.