Pemain tengah Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19), Luka Jordy Hodak mengakui gembira melihat corak permainan agresif yang ditampilkan skuad berkenaan.
Pandangan itu dibuat pemain tengah NK Trnze selepas tamat perlawanan terakhir Kumpulan B Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 menentang Thailand baru-baru ini.
Luka yang juga anak kepada bekas jurulatih Persib Bandung, Bojan Hodak menyifatkan skuad muda negara dilihat agresif dan tidak takut merampas kawalan bola daripada pihak lawan.
“Saya fikir kita ada generasi yang bagus. Dua perlawanan pertama (menentang Singapura dan Brunei) menunjukkan kita bermain dengan agresif.
“Saya ada melihat perlawanan pasukan lain dan saya tidak fikir ada pasukan seagresif seperti kita,” katanya seperti dikongsikan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
Luka turut menghargai peluang membuat penampilan bersama Malaysia B-19 ketika menentang Brunei pada 5 Jun lalu. Meskipun hanya masuk sebagai pemain gantian, pemain berusia 17 tahun itu menghargai peluang yang diberi jurulatih, Nafuzi Zain.
Tidak mustahil corak permainan ini bakal digunakan Nafuzi untuk kempen ASEAN Championship 2026. Ini selepas bekas jurulatih Terengganu FC itu diumumkan sebagai jurulatih yang akan memimpin Malaysia untuk kejohanan tersebut.