Beza Corak Permainan Malaysia & Croatia Menurut Luka Hodak
MakanBola
FA Malaysia

Pemain Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) yang berpangkalan di Croatia, Luka Jordy Hodak mengakui ada sedikit perbezaan dari segi corak permainan di negara itu dan Malaysia.

Hal ini dinyatakan pemain muda NK Trnje itu apabila ditanya tentang perbezaan permainan kedua-dua negara.

Luka yang pernah berlatih bersama Persib Bandung menyifatkan corak permainan di Croatia lebih mementingkan hantaran bawah. Corak permainan sama turut diterapkan jurulatih Malaysia B-19, Nafuzi Zain.

Meskipun begitu, Luka melihat di Croatia, pemain perlu bijak mencari ruang sebelum membuat hantaran. Berbeza di Malaysia, pemain seperti dirinya perlu memilih sama ada membuat hantaran atau berisiko kehilangan bola bila ditekan pihak lawan.

“Di Croatia, corak permainan lebih kepada bawah, di sini juga sama kerana jurulatih (Nafuzi) gunakan corak itu. Di Croatia, apabila saya memegang bola, saya perlu mencari ruang untuk menghantar bola.

“Di sini sudah ada pemain yang lakukan tekanan di depan dan belakang, jadi saya perlu cepat lepaskan bola atau kehilangannya,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

Anak bekas jurulatih Kelantan, Bojan Hodak itu antara 23 pemain yang dipilih Nafuzi untuk menghadapi Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 di Medan, Indonesia.

Malaysia akan membuka kempen Kumpulan B dengan menentang negara jiran, Singapura pada 2 Jun ini.