Luka Hodak Ketuai Cabaran Malaysia B-19 Di Indonesia
MakanBola
FA Malaysia

Pemain muda NK Trnje FC, Luka Jordy Hodak mengetuai senarai akhir barisan pemain Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) untuk menghadapi Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 di Medan, Indonesia.

Ini berdasarkan senarai 23 pemain yang diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di semua platform rasmi badan induk itu.

Luka yang juga anak kepada bekas jurulatih Persib Bandung, Bojan Hodak antara pemain negara yang tersenarai di bahagian tengah.

Sebahagian besar pemain yang dipanggil jurulatih skuad muda negara, Nafuzi Zain mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT). Sembilan pemain diketuai Abid Safaraz Rozaidi mewakili skuad JDT III.

Enam lagi pemain termasuk Arayyan Hakeem Norizam pula beraksi untuk JDT IV. Adam Hakimi Mohd Zaki mengetuai kontinjen Selangor FC dengan dia satu-satunya pemain Selangor II.

Lima lagi pemain termasuk penyerang muda, Muhammad Adib Roshidi pula mewakili Selangor Bawah 18 Tahun (B-18). Pravinash Ravindran menjadi wakil tunggal MISC-Touchtronics FC.

Skuad muda negara sudah berlepas ke Medan, Indonesia pada Sabtu. Anak buah Nafuzi akan membuka kempen Kumpulan A dengan menentang Singapura pada 2 Jun ini.

Ini disusuli aksi kedua menentang Brunei pada 5 Jun dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Teladan,. Perlawanan terakhir pula menyaksikan Malaysia bertemu Thailand pada 8 Jun di Stadium Madya 1.

Jika berjaya muncul juara kumpulan atau menjadi pasukan tempat kedua terbaik, aksi separuh akhir dijadual pada 11 Jun. Ini disusuli aksi final dan penentuan tempat ketiga pada 13 Jun.

Kesemua aksi peringkat kalah mati berlangsung di Stadium Utama Sumatera Utara. Menariknya, Luka berpeluang mengulangi pencapaian cemerlang yang dilakar bapanya bersama skuad Malaysia B-19.

Ini kerana Hodak pernah membimbing pasukan itu bergelar juara edisi 2018 di Surabaya, Indonesia. Selain itu, skuad muda negara juga pernah bergelar juara edisi 2022 di Indonesia ketika dibimbing Hassan Sazali Waras.

Edisi 2024 menyaksikan Malaysia tewas kepada Australia menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan penentuan tempat ketiga. Hal ini menyebabkan anak buah Juan Torres Garrido pada ketika itu menamatkan kempen di tempat keempat.