Luka Hodak Raih Debut Bersama Malaysia B-19
MakanBola
ASEAN Boys Championship

Luka Hodak akhirnya meraih penampilan pertama bersama skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19).

Selepas namanya menjadi sebahagian daripada skuad Malaysia untuk menghadapi Kejuaraan B-19 ASEAN 2026, ramai peminat tidak sabar melihat Luka beraksi.

Hasrat penyokong melihat pemain NK Trnje itu beraksi menjadi kenyataan dalam aksi kedua Kumpulan B menentang Brunei pada 5 Jun lalu.

Luka masuk pada separuh masa kedua sebagai pemain gantian. Walaupun hanya sempat beraksi selama beberapa minit, dia membantu skuad muda negara menambah dua lagi gol.

Ini membolehkan Malaysia meraih kemenangan bergaya 4-0 ke atas Brunei. Lebih menarik, penampilan pertama Luka turut disebut Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

“Luka Jordy Hodak, anak lelaki ketua jurulatih Persib Bandung, Bojan Hodak, kini mewakili Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia B-19 Malaysia di Indonesia, negara yang sama di mana bapanya menikmati kejayaan luar biasa bersama Persib Bandung, memimpin Maung Bandung mencapai pencapaian besar dalam tiga musim berturut-turut.

“Kini, giliran Luka untuk mencipta kisahnya sendiri di bumi Indonesia,” kata AFF dalam satu kenyataan.

Sentuhan Luka dijangka ditagih Nafuzi Zain untuk aksi terakhir kumpulan menentang Thailand pada 8 Jun ini. Ini kerana aksi ini menentukan sama ada Malaysia atau Thailand mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.