Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin mengakui jawapan yang diberikan oleh bekas pemain JDT ternyata menguatkan langkahnya ke Iceland.
Umum mengetahui bahawa beliau merupakan antara pemain muda yang sudah lama berkelana di luar negara dan kini telah melengkapkan perpindahan ke kelab Iceland, Njardvík FC dari KV Kortrijk.
Pemain berusia 22 tahun itu menyatakan bahawa tahap bola sepak Iceland cukup tinggi kerana telah melahirkan ramai pemain berkualiti.
Malah, Iceland kini berada pada kedudukan ranking ke-63 dunia sekaligus menguatkan keinginan beliau untuk bermain di sana.
Walau bagaimanapun, Luqman mengakui ada bertanyakan pandangan bekas bintang JDT dan Selangor, Armin Maier tentang Liga Iceland.
“Sebelum saya pilih main di sini (Liga Iceland), saya ada bertanya kepada Armin dan dia cakap gaya permainan tidak terlalu berbeza dengan liga Eropah lain.”
“Bila saya dah sampai di sini, memang benar dan saya semakin yakin Liga Iceland ini dapat membantu meningkatkan lagi tahap permainan saya.”
Beliau juga berazam untuk meraih sebanyak mungkin minit permainan di sana tatkala khidmat beliau sememangnya ditagih oleh jurulatih pasukan sendiri.
“Saya mahu jadikan ini landasan untuk saya bina keyakinan dan raih minit permainan yang banyak,” jelasnya kepada Arena Metro.
Luqman bagaimanapun masih belum diturunkan dalam skuad utama Njardvik namun sudah pun meledak gol dalam aksi persahabatan bersama skuad pembangunan di sana.