Luqman Hakim Jelaskan Kelebihan Liga Malaysia
MakanBola
Negeri Sembilan FC

Penyerang Negeri Sembilan FC, Luqman Hakim Shamsudin menyifatkan Liga Malaysia (Liga M) memiliki dua kelebihan menarik.

Pandangan itu dibuat beliau apabila ditanya tentang kelebihan liga itu berdasarkan pengalaman beraksi di luar negara.

Luqman Hakim melihat Liga M cukup mencabar kerana memiliki intensiti tinggi. Aspek ini dilihat mencabar tahap fizikal pemain setiap kali beraksi di atas padang.

Selain itu, Luqman Hakim melihat kehadiran ramai pemain import yang bagus turut membantu menaikkan taraf Liga M.

“Saya rasa Liga Malaysia ini sangat bagus. (Dua kelebihan) bagi saya intensiti dan sebab mungkin dikelilingi (pemain) import yang ramai and bagus.

“Itu membantu meningkatkan (kualiti) liga kita,” katanya selepas perlawanan Selangor FC dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Luqman Hakim pernah beraksi untuk KV Kortrijk (Belgium), UMF Njardvik (Iceland) dan Yokomana SCC (Jepun).

Beliau kembali ke Malaysia dan menyertai Sang Rusa pada awal musim 2025/26. Luqman Hakim kini merekodkan tiga gol dalam 13 penampilan semua kejohanan.