Luqman Hakim Tagih Sokongan Padu Rakyat Malaysia
MakanBola
FA Malaysia

Penyerang KV Kortrijk, Luqman Hakim Shamsudin mengharapkan sokongan rakyat Malaysia bagi membantu skuad B-23 melepasi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2024.

Luqman kembali menyarung jersi Harimau Muda selepas tidak dapat berbuat demikian sebelum ini untuk aksi Piala AFF B-23 pada Ogos lepas.

Biarpun Thailand dijangka menjadi pencabar Malaysia dalam saingan Kumpulan H, sokongan padu penyokong amat ditagih Luqman. Ini membolehkan beliau dan rakan-rakan sepasukannya menampilkan aksi terbaik semasa pusingan kelayakan.

“Teruskan support Malaysia Under 23 (B-23) kerana kitorang perlukan support (sokongan) yang positif dan yang baik daripada anda semua. Teruskan support (sokongan) kepada player-player (pemain-pemain) ini yang kita mau.

“Ini yang player (pemain) mahu, ini yang staf mahu. Ini yang coach (jurulatih E. Elavarasan) mahu dari rakyat Malaysia dan saya harap korang dapat terus support (sokong).

“Kalah menang, teruskan support (sokongan) bagi semangat kepada player (pemain). So (Jadi), saya harap anda semua dapat terus beri support (sokongan) dan bagi kata-kata semangat kepada pemain,” katanya kepada FAMTV.

Selain Malaysia dan Thailand, Kumpulan H turut mengandungi Bangladesh dan Filipina. Malaysia bakal memulakan aksi kelayakan Kumpulan H dengan menentang Bangladesh di Stadium Chonburi, Chonburi, Thailand esok.

Sekiranya berjaya melepasi pusingan kelayakan, Harimau Muda bakal membuat penampilan kali ketiga dalam Piala Asia B-23.

Sentuhan berbisa Luqman pasti akan ditagih jurulatih Harimau Muda, E. Elavarasan. Beliau baru saja menamatkan tempoh pinjaman bersama Njardvik dengan merekodkan 12 penampilan dan dua gol.