Lyon Tersingkir Ke Liga Divisyen Dua Perancis
MakanBola
Olympique Lyonnais

Juara Ligue 1 7 kali, Lyon kini secara rasmi diturunkan ke Ligue 2 susulan isu kewangan berpanjangan.

Keputusan ini diumumkan oleh Liga Bola Sepak Profesional Perancis (LFP) pada Selasa selepas pihak pengurusan kelab, termasuk pemilik dari Amerika Syarikat, John Textor, bertemu dengan badan kawal selia kewangan bola sepak Perancis, DNCG.

Pertemuan ini telah diadakan dalam usaha untuk meyakinkan DNCG bahawa situasi kewangan kelab telah bertambah baik namun, usaha tersebut tampak gagal bagi meyakinkan pihak berkuasa terbabit.

Pada Oktober 2024, Eagle Football Group milik Textor yang memiliki 77% pegangan dalam kelab mendedahkan bahawa mereka menanggung hutang mencecah £422 juta, sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang kemampuan kewangan Lyon.

Pihak kelab telah menyatakan hasrat untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan, malah menggelarnya sebagai sesuatu yang “tidak dapat diterima akal” menerusi kenyataan rasmi yang tegas.

Meskipun keputusan masih belum muktamad dan tertakluk kepada proses rayuan, penyingkiran ini dilihat sebagai satu kejatuhan buat Lyon yang pernah menjadi kuasa bola sepak Perancis dan Eropah.

Untuk rekod, Lyon telah menjulang 23 kejuaraan di peringkat domestik membuatkan kelab ini memiliki pencapaian sejarah luar biasa selain turut pernah mara ke separuh akhir UCL di musim 2019-2020.

Seandainya rayuan ini gagal dan penyingkiran itu dikekalkan, Reims yang sebelum ini tewas kepada Metz dalam aksi play-off penyingkiran berkemungkinan besar akan menggantikan Lyon di Ligue 1 musim hadapan.