Ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj memohon maaf diatas kegagalan beliau dan anak-anak buahnya untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Beliau memberi komen tersebut selepas perlawanan peringkat kumpulan hoki kelayakan Olimpik Malaysia dan Pakistan yang berakhir dengan keputusan seri.
Beliau juga berharap skuad Malayan Tigers dapat bangkit dan berjuang habis-habisan untuk ke Sukan Olimpik seterusnya di Los Angeles empat tahun kemudian.
“Saya memohon maaf terutamanya pada para penyokong kerana gagal dalam misi kali ini. Pasukan Malaysia perlu bekerja keras untuk melayakkan diri pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028.”
Pada aksi semalam, Malaysia kempunan untuk menamatkan rentetan kemarau selepas terikat seri 3-3 bersama Pakistan meskipun tiga kali mendahului melalui jaringan Fitri Saari, Azrai Aizad dan Firhan Ashari.
Keputusan ini sekaligus mengakibatkan skuad hoki negara gagal melepasi peringkat kumpulan dan terlepas slot ke Sukan Olimpik yang diberikan kepada tiga pasukan terbaik kelayakan.