Maghribi Dedikasi Kemenangan Sepanyol Kepada Abdelhak Nouri
Piala Dunia
Ben Jacobs
Advertisements

Kemenangan Maghribi ke atas Sepanyol dalam pusingan kalah mati Piala Dunia 2022 beberapa hari lepas bukan saja menjadikan Singa Atlas sebagai satu-satunya wakil Afrika dan Arab dalam Piala Dunia. Malah, kemenangan tersebut turut didedikasikan kepada bekas pemain Belanda berdarah Maghribi, Abdelhak Nouri.

Abdelhak Nouri merupakan bekas pemain tengah Ajax Amsterdam dari 2015 hingga 2017. Bakatnya amat dikagumi ramai sehinggakan disenaraikan sebagai antara 40 pemain remaja terbaik di dunia oleh akhbar The Guardian pada 2014.

Bagaimanapun, Nouri mengalami sakit jantung semasa perlawanan persahabatan menentang Werder Bremen pada Julai 2017. Akibat kelewatan pasukan perubatan memulihkan kembali jantungnya, dia koma selama tiga tahun dan mengalami kerosakan otak yang teruk sekaligus memusnahkan terus karier bola sepaknya.

Advertisements

Pada Februari 2022, Ajax mengumumkan penyelesaian kewangan berjumlah €7.85 juta (RM36.3 juta), menanggung kos perubatan Nouri dan tidak lagi menggunakan nombor jersi 34, nombor yang dipakainya. Impak persaraan mengejut Nouri akibat masalah kesihatan dirasai ramai pemain ketika itu termasuk yang berdarah Maghribi.

Justeru, dalam bilik persalinan mereka pasca-perlawanan Maghribi-Sepanyol, mereka semua bergambar sambil menayangkan jersi Maghribi bernombor 34. Menerusi gambar tersebut, para pemain Maghribi memberitahu bahawa nama Abdelhak Nouri tidak akan dilupakan dengan kemenangan mereka ke atas Sepanyol didedikasikan kepadanya.

Menariknya, ramai pemain yang mengenali Nouri sama ada di Belanda atau yang berdarah Maghribi turut menggunakan jersi nombor 34 di kelab baru mereka sebagai tanda dedikasi kepadanya. Antara pemain tersebut ialah Sofyan Amrabat, Donny van de Beek, Anwar El Ghazi dan Justin Kluivert.

Advertisements

Maghribi bakal berdepan cabaran Portugal yang segar dari kemenangan 6-1 dengan Switzerland di peringkat suku akhir pada 10 Disember. Sekiranya Singa Atlas berjaya mengejutkan pasukan gergasi Eropah itu, Maghribi bakal berdepan England atau Perancis di peringkat separuh akhir.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram