Bekas penyerang import Selangor FC dari Jordan, Reziq Bani Hani semakin menyerlah bersama kelab barunya, Al-Hussein SC.
Sebelum ini, ramai penyokong Merah Kuning kecewa apabila Selangor menerima tawaran Al-Hussein untuk penyerang berusia 22 tahun itu. Ini kerana Reziq dilihat sudah menunjukkan potensinya sejak menyertai Selangor pada Mei lalu.
Meskipun banyak membuat penampilan sebagai pemain gantian, bekas penyerang Al-Faisaly SC itu sudah merekodkan 10 penampilan, dua gol dan satu bantuan gol di Liga Malaysia (Liga M).
Selepas menyertai kelab Jordan itu dengan yuran perpindahan yang tidak didedahkan, Reziq tidak menunggu lama untuk mempamerkan bisanya di atas padang.
Penyerang Jordan Bawah 23 Tahun (B-23) itu sudah meledakkan empat gol dalam enam perlawanan semua kejohanan termasuk saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Ini termasuk dua gol yang dijaringkan dalam aksi Kumpulan D ACL2 menentang kelab Uzbekistan, FC Nasaf di Stadium Markaziy, Qarshi.
Kemenangan 2-1 ke atas FC Nasaf membantu Al-Hussein memperkukuh kedudukan mereka sebagai pendahulu Kumpulan D dengan sembilan mata. Impak Reziq turut diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.8.
Reziq bukan satu-satunya pemain Al-Hussein yang pernah beraksi di Malaysia. Selain beliau, pemain sayap berpengalaman, Mahmoud Al-Mardi juga pernah bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
Bisa Reziq dijangka ditagih jurulatih Portugal, Joao Mota untuk aksi ACL2 seterusnya menentang kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Shabab Al-Ahli pada awal pagi 28 November ini.