Malam Suka & Duka Buat Bergson Di Buriram
MakanBola
Johor Southern Tigers

Malam perlawanan separuh akhir kedua Shopee Cup antara Buriram United dan Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa kenangan suka dan duka buat Bergson da Silva.

Meskipun berjaya membantu JDT menewaskan Buriram 2-1, itu tidak cukup buat anak buah Xisco Munoz untuk menempah tiket final.

Ini kerana Buriram memastikan tiket final menjadi milik mereka dengan keputusan agregat 4-3. Kingsley Schindler muncul wira dengan meledakkan gol pada minit ke-98.

Meskipun begitu, penalti Bergson dalam perlawanan itu menyaksikan beliau telah menjaringkan 200 gol buat JDT. Ia satu pencapaian hebat buat beliau sejak menyertai pasukan itu pada 2021.

“Sejujurnya, setiap gol yang saya jaringkan untuk jersi ini sangat mengujakan saya. Sejak saya datang ke sini kira-kira lima hingga enam tahun yang lalu, saya masih seorang pemain muda.

“Dan kini saya berumur kira-kira 35 tahun dan saya sedang belajar bagaimana untuk mencintai kelab ini dan kemudian bagaimana membuat ramai orang bangga di Johor, bagaimana mereka melayan saya, bagaimana bos (DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor) memberi keyakinan kepada kami.

“Saya juga fikir saya salah seorang daripada mereka sudah berada di padang, seorang anak Johor. Dan kemudian ya, saya sangat bangga mencapai sasaran ini. 200 gol adalah banyak, saya gembira hari ini,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam selepas perlawanan.

Bergson berpeluang meraih gelaran Kasut Emas Liga Super selepas menjaringkan 27 gol. Meskipun begitu, penyerang Selangor FC, Chrigor Moraes masih berpeluang merampas gelaran itu.

Ini kerana Selangor akan menutup kempen liga dengan menentang PDRM FC pada 17 Mei ini. Chrigor berpeluang memintas Bergson jika beliau berjaya menjaringkan lima gol.

Penjaring terbanyak Selangor itu sudah menjaringkan 42 gol musim ini. Ini termasuk 23 gol dalam saingan Liga Super.

Claim Money Packet TnG