Malaysia mengakhiri kemarau 7 tahun selepas berjaya menewaskan Laos untuk layak ke final Kejuaraan B-17 ASEAN pada Rabu.
Aksi separuh akhir Kejuaraan B-17 ASEAN 2026 menyaksikan pasukan Malaysia B-16 bimbingan Shukor Adan tampil cukup garang ketika menewaskan Laos 3-0 sekali gus berjaya mara ke final.
Tiga gol terhasil daripada tendangan penalti Yusof Nasrullah, penyudah Aniq Thaqif dan jaringan sendiri pertahanan Laos, Nilandone Xayaseng membantu skuad muda negara muncul sebagai pemenang.
Kemenangan 3-0 ke atas Laos turut mengakhiri penantian selama 7 tahun menyaksikan Malaysia mara ke perlawanan akhir Kejuaraan B-17 ASEAN setelah kali terakhir layak pada tahun 2019 lalu.
Pada edisi 2019, Malaysia dibimbing oleh P. Maniam berjaya melangkah ke final Kejuaraan B-15 ASEAN sebelum muncul sebagai juara setelah menumbangkan tuan rumah, Thailand 2-1 di Chonburi.
Tumpuan kini terarah kepada skuad muda negara kendalian Shukor Adan bagi mengulangi pencapaian tersebut selepas Malaysia hanya terkandas di peringkat kumpulan pada edisi 2022 dan 2024 lalu.
Menanti Malaysia pada perlawanan akhir Jumaat ini nanti adalah pemenang antara Vietnam vs Australia yang akan bertemu dalam satu lagi aksi separuh akhir pada malam ini.