Malaysia B-16 berjaya bangkit mengikat Indonesia dalam aksi persahabatan di Stadium Manahan, Solo pada Sabtu.
Perlawanan ujian antara Malaysia B-16 dan Indonesia diatur dengan misi untuk membantu kedua-dua negara melakukan persiapan menjelang aksi Kelayakan Piala Asia B-17 yang akan berlangsung pada bulan November hadapan.
Aksi persahabatan pertama yang diadakan pada Sabtu ini berakhir dengan keputusan seri 1-1 selepas skuad muda Malaysia bimbingan Shukor Adan bangkit mengikat pasukan Indonesia B-17 hasil jaringan pada minit-minit akhir.
Kesebelasan utama Malaysia diketuai oleh pertahanan tengah, Adam Muqri selain turut dibantu Fareez Danial dan Naim Musaddiq manakala Indonesia turut menampilkan barisan terbaik dengan Ramadhan Putra memakai lilitan kapten.
Indonesia B-17 terlebih dahulu mendahului permainan pada minit ke-79 apabila percubaan Chico Jericho menghasilkan bola muntah yang terus disambar pantas oleh pemain gantian, Dhamar Kusuma untuk tuan rumah di hadapan.
Hasrat pasukan muda Indonesia bagi meraih kemenangan digagalkan oleh jaringan minit akhir oleh penyerang gantian Malaysia, Muzakif Fitri yang bijak menyudahkan peluang keemasan untuk mengikat kedudukan hingga tamat aksi.
Aksi berakhir dengan keputusan seri 1-1 dan kedua-dua negara dijadualkan bertemu sekali lagi pada Selasa, 7 Julai hadapan di Stadium Manahan, Solo.