Malaysia B-16 Tumbang Di Tangan Indonesia
MakanBola
FA Malaysia

Skuad Malaysia B-16 terpaksa akur menelan kepahitan tewas besar kepada Indonesia dalam aksi persahabatan di Stadium Manahan, Solo pada Selasa.

Perlawanan pemanas badan kedua skuad Malaysia B-16 bimbingan Shukor Adan ini berakhir dengan kekalahan 0-3 di tangan Indonesia selepas kedua-dua negara terikat seri ketika aksi pertama di venue yang sama pada Sabtu lalu.

Beberapa pertukaran dilakukan dalam kesebelasan utama Malaysia dengan lilitan kapten pasukan kini disarung oleh Fareez Danial manakala Muzakif Fitri memimpin jentera serangan bersama Fahim Akmal dan Azam Muslim.

Skuad tuan rumah berhasil membuka tirai jaringan menerusi Haikal Kamil Ramadhan pada minit ke-11 sebelum Dhamar Try Kusuma menggandakan kelebihan dengan gol kedua pasukan muda Indonesia B-16 selang 10 minit kemudian.

Hasrat skuad muda negara bagi memperoleh satu jaringan di babak pertama tidak membuahkan hasil, namun sebaliknya, pasukan lawan tampak garang menambah gol ketiga perlawanan hasil sentuhan Dewa Gede Majesta pada minit ke-43.

Tiada tambahan jaringan berlaku di separuh masa kedua menyaksikan aksi di Stadium Manahan, Solo berakhir dengan keputusan 3-0 memihak skuad Indonesia B-16.

Kedua-dua perlawanan pemanas badan ini penting buat kedua-dua pasukan sebagai persiapan rapi menjelang kempen Kelayakan Piala Asia B-17 yang dijadualkan berlangsung pada bulan November hadapan.