Pengendali Malaysia B-16, Shukor Adan bakal melakukan sedikit perubahan taktikal menjelang final Kejuaraan B-17 ASEAN menentang Vietnam pada Jumaat.
Perlawanan akhir Kejuaraan B-17 ASEAN bakal menemukan Malaysia vs Vietnam yang turun merebut gelaran juara edisi 2026 dengan skuad muda negara memiliki misi mengulangi kejayaan hebat 7 tahun lalu.
Walaupun berdepan ujian hebat menentang Vietnam, namun Malaysia yang dibarisi pemain lebih muda ini berjaya melakar kejutan sehingga mampu melangkah ke perlawanan akhir kali ini.
Oleh itu, Shukor Adan sebagai ketua jurulatih sedar dengan kekuatan pasukan lawan dan memberikan tumpuan khusus buat proses pemulihan pemain terlebih dahulu selepas aksi menentang Laos semalam.
”Saya rasa persediaan pasukan bagi perlawanan esok adalah pemulihan dari segi mental dan fizikal pemain Malaysia,” jelas Shukor Adan.
”Kita tahu Vietnam adalah pasukan yang agak kuat, (dengan) menjaringkan 16 gol dan bolos hanya satu jaringan.”
Skuad muda negara ini juga dijangka bakal turun dengan pendekatan berlainan menurut Shukor Adan selepas kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ketika di peringkat kumpulan lalu.
“Dari segi pendekatan taktikal, kita akan pergi tapi dengan berlainan pendekatan pada perlawanan akhir nanti,” jelas jurulatih berusia 47 tahun itu.
Aksi final antara Malaysia vs Vietnam akan berlangsung pada Jumaat, 24 April 2026 di Gelora Delta Sidoarja dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 8.30 malam waktu Malaysia.