Skuad Malaysia yang dibimbing Kim Pan-gon berpotensi mendapat seorang pemain pertahanan berstatus naturalisasi.
Ini selepas Pengurus Besar Penang FC, Jeffrey Chew mendedahkan pasukan itu kini menggerakkan proses naturalisasi untuk kapten dan bek tengah Brazil, Rafael Vitor.
Proses pengumpulan dokumen rasmi sedang dijalankan dan Penang berharap dapat mendaftarkan Vitor sebagai pemain tempatan pada tahun depan.
“(Rafael Vitor) mungkin dinaturalisasikan tahun depan. Prosesnya akan bermula tahun ini dan kami akan melihatnya tahun depan.
“Kami memiliki pemain yang boleh dinaturalisasikan dan harap-harap dia bersetuju untuk dinaturalisasikan tahun depan, jadi kita akan lihat apa yang akan berlaku.
“Bukan tahun ini kerana kita perlu melengkapkan proses (naturalisasi yang ditetapkan kerajaan). Kita hanya ada seorang pemain yang baru empat tahun (berada) di sini.
“Biasanya proses itu memerlukan lima tahun, jadi ia untuk pendaftaran (pasukan untuk) tahun depan,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom untuk Nadi Arena.
Sejak menyertai Penang pada Januari 2020, Vitor sudah merekodkan 61 penampilan dalam Liga Super, menjaringkan 11 gol dan mencipta tiga bantuan gol mengikut data Transfermarkt.
Sekiranya proses berjalan lancar, Vitor berpotensi mengikut jejak pemain naturalisasi yang mewakili negara seperti Paulo Josue, Endrick dos Santos dan Romel Morales.