Malaysia akhirnya berpeluang untuk melihat kemampuan sebenar skuad kebangsaan Indonesia.
Menariknya, pertembungan kali ini berlaku melibatkan pasukan masa depan negara, skuad Malayan Tigress B-17 yang diundi bersama Garuda Pertiwi (Indonesia).
Skuad kebangsaan bakal menyertai kejohanan Srikandi Merdeka Cup 2026 di Supersoccer Arena, Kudus bermula 14 hingga 23 Ogos 2026 yang menjadi sebahagian daripada persiapan ke Kelayakan Piala Asia B-17 2027.
Saingan Kumpulan A menyaksikan persaingan antara tuan rumah, Indonesia menentang Hong Kong, Malaysia dan juga Arab Saudi.
Pertembungan Kumpulan B pula menyaksikan saingan antara Thailand, Singapura dan juga satu lagi wakil Indonesia iaitu Putri Nusantara.
Malaysia dijangka mempertaruhkan barisan pemain terbaik yang beraksi dalam saingan Liga Puteri FAM 2026 yang menyaksikan ramai bakat muda mula mendapat tempat.
Malah, pemain daripada beberapa pasukan seperti SSS Leopard FC, Velocity FC, Young Tigress, Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) bakal menjadi sandaran utama skuad muda wanita kebangsaan.
Khabar angin juga mula bertiup kencang bahawa skuad wanita kebangsaan bakal diperkuat dengan kehadiran muka baharu dari luar negara – sekali gus membuktikan usaha berterusan FAM bagi memperkasa bola sepak wanita dalam negara.