Tiket final Malaysia Futsal Cup 2024 sah menjadi milik Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) apabila menewaskan KL City FC dalam separuh akhir kedua di Pasir Gudang.
JDT mahu mempertahankan kelebihan empat gol yang diraih mereka di Kuala Lumpur pada 21 September lalu. Manakala KL City pula perlu mendapatkan kemenangan besar jika ingin mara ke final.
Sebaik perlawanan bermula, Harimau Selatan selaku tuan rumah berusaha mendapatkan jaringan pendahuluan.
Penyokong JDT ceria apabila Firdaus Ambiah meletakkan JDT di hadapan seawal minit pertama. Ini menyaksikan tuan rumah melebarkan kelebihan agregat mereka kepada 5-0.
Tidak lama selepas itu, KL City pantas menyamakan kedudukan menerusi Dodie Al Fareq Mohd Zailani. Kesilapan penjaga gol JDT, Azrul Hadee Mohd Taufiq pantas dimanfaatkan pelawat sebelum Dodie mudah menolak bola melepasinya.
JDT kemudiannya ditimpa malang apabila Azrul Hadee tidak dapat meneruskan perlawanan kerana mengalami kecederaan. Keadaan ini mendorong jurulatih JDT, Juan Antonio Miguel Garcia memasukkan Aiman Fikry Ramli sebagai pengganti.
Harimau Selatan kembali memulihkan kelebihan dua gol mereka menerusi penyerang kebangsaan, Awalluddin Mat Nawi pada minit ke-15.
Firdaus memastikan JDT mendahului 3-1 sehingga rehat separuh masa menerusi gol ketiganya dalam kejohanan pada minit ke-18.
Bersambung pada separuh masa kedua, JDT terus ghairah memburu gol tambahan. Walau bagaimanapun, mereka bernasib baik tidak dibolosi buat kali kedua apabila Adham Yusri gagal menyempurnakan hantaran Dodie Al Fareq.
Kegagalan KL City menjaringkan gol dihukum Harimau Selatan dengan Muhammad Saad Abdul Sani meledakkan gol keempat buat tuan rumah pada minit ke-23.
Tonggak import Afghanistan, Hussain Khademi merapatkan jurang dengan menjaringkan gol kedua buat KL City pada minit ke-30.
Keceriaan pasukan Lembah Klang itu tidak bertahan lama apabila Awalluddin menambah gol keenamnya tiga minit selepas itu. Gawang KL City bocor apabila penyerang kebangsaan itu mudah menolak hantaran belakang yang dihasilkan Taffy.
JDT terus mengasak untuk memburu gol tambahan tetapi keputusan 5-2 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini memastikan Harimau Selatan mara dengan keputusan agregat 9-2.
Dengan Selangor FC sah menewaskan Pahang Rangers FC secara agregat dalam satu lagi aksi separuh akhir, JDT bakal berentap dengan Merah Kuning di pentas final Malaysia Futsal Cup 2024.