Pengendali Malaysia, Peter Cklamovski percaya anak buahnya bakal menjanjikan tentangan sengit terhadap lawan mereka, Vietnam.
Perkara itu dinyatakan beliau dalam sidang media praperlawanan yang diadakan di Nam Dinh, Vietnam pada Isnin.
Cklamovski mengakui dengan kedudukan ranking dan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, kelebihan tampak memihak kepada Vietnam.
Pada masa sama, bekas jurulatih FC Tokyo itu percaya barisan pemain Harimau Malaya mampu memberi tentangan sengit apabila turun beraksi di Stadium Thien Truong.
“Kita sentiasa ada mentaliti untuk memenangi perlawanan seterusnya tidak kira siapa atau apa-apa faktor termasuk perubahan persekitaran. Kita ambil ini sebagai peluang mewujudkan kem terbaik yang kita ada.
“Dan pada masa sukar ini, kita menggunakan itu untuk bermain permainan bola sepak yang terbaik, itu yang kita mahu. Pada masa sama, Malaysia sudah lama tidak menewaskan Vietnam selama 12 tahun.
“Ia satu cabaran yang perlu dikejar dan kita akan lakukannya dengan bola sepak kita,” katanya.
Harimau Malaya bakal turun menentang Vietnam pada 31 Mac ini. Sekiranya skuad negara meraih kemenangan, ini akan membantu pasukan itu memperbaiki kedudukan ranking FIFA.