Malaysia Kekal Di Tangga Ke-96, Indonesia Lonjak Dua Anak Tangga
UltraSukan
FA Malaysia/Timnas Indonesia
Sponsors

Kedudukan Malaysia dalam kelompok 100 terbaik dunia tidak tergugat dalam senarai ranking bola sepak wanita FIFA sementara Indonesia mempamerkan peningkatan mengagumkan.

Menerusi kemas kini ranking yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) menyaksikan kedudukan skuad wanita kebangsaan tidak mengalami perubahan setelah tiada sebarang perlawanan yang dihadapi.

Ad
Sponsors

Kali terakhir skuad wanita negara turun beraksi adalah ketika meraih tempat ketiga dalam kejohanan jemputan di Arab Saudi setelah menewaskan tuan rumah dengan keputusan 1-0 hasil jaringan kapten pasukan Steffi Sarge Kaur.

Ad

Sementara itu, negara jiran, Indonesia pula mencatatkan peningkatan ranking dengan melonjak sebanyak dua anak tangga ke tempat ke-107 dalam kemas kini senarai yang dikeluarkan minggu lalu.

Skuad wanita Indonesia yang dibimbing oleh jurulatih kelahiran Jepun, Satoru Mochizuki telah turun dalam tiga perlawanan bagi tahun ini dan kesemua aksi tersebut berakhir dengan kemenangan.

Ad

Mei lalu, Indonesia berjaya menumbangkan Singapura 5-1 di Jakarta sebelum terbang ke Bahrain untuk dua lagi aksi persahabatan di sana yang menyaksikan kemenangan 3-2 dan 3-0 berjaya dicapai pasukan yang diketuai oleh Safira Ika Putri.

Ad

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal mengadakan kejohanan jemputan antarabangsa pada penghujung tahun ini dan dikhabarkan empat pasukan bakal menjadi lawan buat skuad negara bimbingan Soleen Al Zoubi nanti.

Dalam perkembangan sama, bola sepak wanita di Malaysia kini semakin berkembang baik dengan Sabah dipilih untuk beraksi di Kelayakan AFC Women Champions League selain penganjuran Liga Wanita Nasional (LWN) yang bakal bermula tidak lama lagi.