Juara Liga Wanita Nasional (LWN) 2023, Sabah FC bakal membawa cabaran Malaysia ke pusingan Kelayakan AFC Women’s Champions League 2024.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan bahawa Sabah bakal bertanding di dalam pusingan kelayakan AFC Women’s Champions League 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 31 Ogos 2024.
“Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman bersama Ketua Jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi selaku ketua unit bola sepak wanita FAM telah hadir ke pejabat Persatuan Bola Sepak Sabah, semalam bagi menzahirkan ucapan tahniah serta mengadakan perbincangan lanjut mengenai persiapan pasukan.
AFC Women’s Champions League 2024 diadakan buat julung kalinya oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan skuad bola sepak wanita Sabah merupakan pasukan bola sepak wanita pertama di Malaysia untuk melayakkan diri ke pertandingan berprestij ini.
“Sabah bersama 14 pasukan lain akan berentap di pusingan kelayakan AFC Womens Champions League untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya bersama lagi 8 pasukan teratas yang telah layak berdasarkan kedudukan ranking FIFA.
“Seterusnya, 4 juara kumpulan akan layak ke peringkat kumpulan yang akan menyaksikan 12 kelab berentap bagi melayakkan ke AFC Women’s Champions League yang dijadualkan berlangsung pada Januari 2025, ” jelas kenyataan FAM.