Advertisements
Malaysia Mahu Lenyapkan ‘Badi’ Pakistan
UltraSukan
UltraSukan
MHC

Jurulatih skuad hoki senior Malaysia, Sarjit Singh mahu menamatkan kemarau kemenangan Malaysia ke atas pasukan gergasi Asia, Pakistan.

Dalam dua kejohanan sebelum ini, pasukan yang diberi gelaran The Green Shirts itu menjadi duri dalam daging kepada The Speedy Tigers.

Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China menyaksikan Malaysia tumbang 5-2 di tangan Pakistan untuk perlawanan penentuan tempat kelima/keenam.

Hajat Malaysia untuk layak ke Sukan Olimpik 2024 turut digagalkan lawan sama selepas diikat 3-3 dalam pusingan kelayakan Olimpik di Valencia, Sepanyol pada Januari lalu.

Ironinya, skuad negara bakal berhadapan Pakistan untuk aksi pembukaan Piala Sultan Azlan Shah pada 4 Mei ini.

Justeru, Sarjit mahu menamatkan kemarau kemenangan skuad negara bagi membolehkan mereka mendapat permulaan positif dalam Piala Sultan Azlan Shah.

“Saya fikir kita sudah tewas dua kali (dengan Pakistan). Saya fikir pemain-pemain juga sedar tentang hal ini.

“Bagi kita sebagai satu pasukan, jika kita tewas lagi (kepada Pakistan) buat kali ketiga, itu bukan sesuatu yang bagus.

“Tapi saya fikir para pemain akan lakukan yang terbaik dan harapnya kita mendapat keputusan yang bagus,” katanya kepada Nadi Arena.

Ketika ini, 46 pemain hoki negara dipanggil menjalani sesi pemilihan bagi membarisi barisan baru The Speedy Tigers.

Barisan 30 orang pemain yang terpilih akan diumumkan Sarjit pada 1 April selepas tamat sesi pemilihan yang berakhir pada Sabtu ini.