Malaysia Masters: Aaron Chia-Wooi Yik Ke Final, Singkirkan Astrup-Rasmussen
UltraSukan
BAC 2025

Bekas juara dunia 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berhempas pulas mengatasi cabaran Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen untuk mara ke peringkat akhir Malaysia Masters 2025.

Selepas Man Wei Chong-Tee Kai Wun berjaya meraih tiket final, tumpuan pula beralih kepada Aaron-Wooi Yik.

Juara Asia itu mahu meneruskan momentum cemerlang selepas menewaskan Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard di peringkat suku akhir.

Meskipun begitu, Astrup-Rasmussen menjadi penghalang antara Aaron-Wooi Yik dan tiket final. Beregu nombor satu dunia itu berharap dapat menebus kekalahan mereka dalam saingan Sukan Olimpik 2024.

Astrup-Rasmussen terpaksa akur dengan kehebatan Aaron-Wooi Yik dalam aksi penentuan pingat gangsa. Juara Thailand Open 2025 itu menang dengan keputusan 16-21, 22-20, 21-19.

Set pertama menyaksikan kedua-dua beregu bersaing sengit mendapatkan mata. Pada satu ketika, kedua-dua regu terikat pada kedudukan 16-16.

Sokongan padu penyokong menjadi pendorong kepada Aaron-Wooi Yik mengungguli set pertama dengan keputusan 21-19.

Set kedua menyaksikan Astrup-Rasmussen bangkit mendahului pada kedudukan 11-4. Hal ini mendorong pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu cuba mengejar.

Walau bagaimanapun, Astrup-Rasmussen berjaya mengheret perlawanan ke set penentuan dengan keputusan 21-17.

Set ketiga menyaksikan Aaron-Wooi Yik kembali menemui rentak. Bekas juara dunia 2022 itu selesa mendahului pada kedudukan 11-3.

Kelebihan itu terus dipertahankan sebelum mereka meraih kemenangan dengan keputusan 21-15.

Ini bermakna Aaron-Wooi Yik atau Wei Chong-Kai Wun berpeluang mengakhiri kemarau kejuaraan dalam acara beregu untuk Malaysia sejak edisi 2013.