Malaysia Masters: Aaron Chia-Wooi Yik Selangkah Ke Final, Tewaskan Kjaer-Sogaard
UltraSukan
Olympics Malaysia

Beregu nombor tiga dunia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir Malaysia Masters 2025.

Juara Asia itu mara selepas mengatasi cabaran pilihan ketujuh kejohanan dari Denmark, Rasmus Kjaer dan Frederik Sogaard.

Selepas berjaya mengatasi Liu Kuang Heng-Yang Po Han di pusingan kedua, Aaron-Wooi Yik mahu meneruskan rentak cemerlang di peringkat suku akhir.

Aksi ini juga dilihat peluang buat beregu negara membalas dendam terhadap Kjaer-Sogaard. Ini kerana mereka bertanggungjawab menyekat kemaraan Aaron-Wooi Yik dalam saingan All England Open.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu terlepas peluang mara ke peringkat suku akhir kejohanan itu. Aaron-Wooi Yik tewas dengan keputusan 16-21, 21-16, 18-21.

Set pertama menyaksikan beregu negara kelihatan selesa mendahului pada kedudukan 10-4. Kedudukan itu terus dilebarkan sebelum mereka menang dengan keputusan 21-10.

Set kedua menyaksikan Kjaer-Sogaard cuba bangkit memberi tentangan kepada Aaron-Wooi Yik. Pada satu ketika, kedua-dua regu terikat pada kedudukan 10-10.

Kjaer-Sogaard kemudiannya mendahului pada kedudukan 16-12. Aaron-Wooi Yik berjaya mengejar sebelum menyamakan kedudukan 18-18.

Bekas juara dunia 2022 itu memastikan kemenangan milik mereka dengan keputusan 21-19. Aaron-Wooi Yik bakal berdepan beregu nombor satu dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen di peringkat separuh akhir.