Malaysia Masters: Aaron Chia-Wooi Yik Singkirkan Hsiang Chieh-Chi-Lin
UltraSukan
Olympic Malaysia

Juara Thailand Open 2025, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik membuka kempen Malaysia Masters 2025 dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua.

Aaron-Wooi Yik mara selepas menewaskan wakil Chinese Taipei, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin dalam aksi pusingan pertama.

Aksi ini disifatkan aksi balas dendam buat beregu nombor tiga dunia itu. Ini kerana Hsiang Chieh-Chi-Lin pernah mengalahkan Aaron-Wooi Yik di peringkat suku akhir Japan Masters 2024.

Bekas juara dunia 2022 itu tewas dengan keputusan 21-11, 21-13. Justeru, kelebihan beraksi di Axiata Arena mahu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Aaron-Wooi Yik.

Set pertama menyaksikan kedua-dua beregu saling bersaing mendapatkan mata. Aaron-Wooi Yik kemudiannya mendahului pada kedudukan 11-8.

Meskipun Hsang Chieh-Chi-Lin cuba memberi cabaran, juara Asia itu kekal mendahului sebelum menang dengan keputusan 21-18.

Set kedua menyaksikan Aaron-Wooi Yik makin selesa mendahului berbekalkan sokongan penyokong di Axiata Arena. Pada satu ketika, mereka mendahului pada kedudukan 10-4.

Kedudukan itu terus dipertahankan sebelum Aaron-Wooi Yik meraih kemenangan dengan keputusan 21-16.

Mereka akan berdepan satu lagi wakil Chinese Taipei, Liu Kuang Heng dan Yang Po Han. Kuang Heng-Po Han mara ke pusingan kedua selepas menewaskan satu lagi wakil negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.