Beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah terlepas peluang mara ke peringkat akhir Malaysia Masters 2025.
Ini selepas wakil China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian menyekat kemaraan mereka di peringkat separuh akhir di Axiata Arena.
Aksi ini juga dilihat peluang buat beregu negara menebus kekalahan mereka di tangan beregu China itu. Ini kerana Pearly-Thinaah pernah tewas kepada Yi Fan-Shu Xian dalam saingan Orleans Masters.
Juara Thailand Open 2025 itu memberi tentangan sengit sebelum tewas dengan keputusan 21-15, 21-19.
Set pertama menyaksikan Yi Fan-Shu Xian mempamerkan permainan mantap untuk mendahului pada kedudukan 11-8.
Pearly-Thinaah cuba memberi cabaran tetapi juara Swiss Open itu tetap unggul sebelum menang dengan keputusan 21-16.
Set kedua menyaksikan Pearly-Thinaah cuba bangkit dengan harapan dapat mengheret perlawanan ke set penentuan. Beregu negara mendahului pada kedudukan 12-10.
Yi Fan-Shu Xian kemudiannya berjaya mengikat kedudukan 12-12. Pearly-Thinaah kembali mendahului pada kedudukan 16-14 sebelum menang dengan keputusan 21-15.
Ini menyebabkan perlawanan dibawa ke set penentuan. Yi Fan-Shu Xian kembali menemui rentak dan mendahului pada kedudukan 11-7.
Pearly-Thinaah terus memberi tentangan sengit kepada beregu China itu dengan sokongan padu penyokong di Axiata Arena. Walau bagaimanapun, Yi Fan-Shu Xian tetap unggul sebelum menang dengan keputusan 21-14.
Keputusan ini menyaksikan Pearly-Thinaah kempunan mengiringi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun ke peringkat akhir.
Yi Fan-Shu Xian akan berdepan rakan senegara, Tan Sheng Shu-Tan Ning di peringkat akhir. Sheng Shu-Tan Ning mara selepas menyingkirkan wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Febi Setianingrum.