Siapa sangka Malaysia sebenarnya memiliki tiga penyerang pelapis yang berbisa yang mewarnai saingan Piala MFL musim 2024/25.
Tiga penyerang yang dimaksudkan ialah Gabriel Nistelrooy (Johor Darul Ta’zim (JDT) II), Abdul Rahman Daud (Selangor FC) dan Afeeq Iqmal Rosli (Kedah Darul Aman FC (KDA FC) B).
Ketiga-tiganya kini menerajui carta penjaring terbanyak Piala MFL musim 2024/25. Gabriel mengetuai carta tersebut dengan 16 gol.
Afeeq dan Rahman pula masing-masing menjaringkan lapan gol. Mereka berkongsi kedudukan kedua dengan penyerang import Terengganu FC II, Nnabuike Chijioke Chukwu.
Ketajaman Gabriel di depan gol buat JDT II mengingatkan penyokong Harimau Selatan kepada penyerang berbisa mereka dalam skuad senior, Bergson da Silva.
Bergson ketika ini mengetuai perebutan Kasut Emas Liga Super musim 2024/25 dengan 21 gol. Pencabar terdekatnya ialah kapten KL City FC, Paulo Josue dengan 11 gol.
Seandainya bekas penyerang Fortaleza itu mengekalkan rentak jaringannya sehingga akhir musim, beliau berpeluang menambah Kasut Emas Liga Super buat kali kedua dalam kariernya.
Impak besar Bergson turut menyaksikan beliau antara calon pemain naturalisasi baharu yang berpotensi memperkuat jentera serangan Harimau Malaya.
Bisa yang ditampilkan Gabriel, Afeeq dan Rahman dalam saingan Piala MFL menunjukkan Malaysia memiliki pelapis dari segi peledak gol.
Kemunculan Rahman juga dilihat berita baik buat pengendali baharu skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23), Nafuzi Zain. Ini kerana pasukan itu bakal mengharungi tiga ujian besar untuk tahun 2025.
Selain mengharungi pusingan kelayakan Piala Asia B-23 2026, Malaysia juga bakal bersaing dalam Sukan SEA 2025 dan Kejohanan ASEAN B-23 2025.