Advertisement
Malaysia Open: Beregu No. 4 Denmark Singkirkan Sze Fei-Izzuddin
UltraSukan
UltraSukan
Victor Malaysia

Beregu lelaki nombor satu negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani membuka kempen Malaysia Open 2025 dengan langkah kiri apabila tewas kepada pencabar mereka di pusingan pertama.

Sze Fei-Izzuddin menjadi mangsa kejutan beregu ke-26 dunia dari Denmark, Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard.

Ini kali kedua kedua-dua beregu berentap di atas gelanggang. Sebelum ini, Sze Fei-Izzuddin pernah berentap dengan Lundgaard-Vestergaard di pentas separuh akhir Abu Dhabi Masters 2023.

Beregu nombor tiga dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 23-21, 21-12.

Set pertama menyaksikan kedua-dua beregu pada awalnya saling bersaing mendapatkan mata. Kesilapan Sze Fei-Izzuddin membuka ruang buat Lundgaard-Vestergaard mendahului pada kedudukan 11-7.

Permainan pantas yang dipamerkan juara Scottish Open 2023 itu memastikan mereka kekal dominan sebelum meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 21-15.

Set kedua menyaksikan Sze Fei-Izzuddin tampil lebih agresif di atas gelanggang. Perubahan corak permainan tersebut membantu mereka mendahului pada kedudukan 11-7.

Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Lundgaard-Vestergaard membolehkan Sze Fei-Izzuddin meraih kemenangan set kedua dengan keputusan 21-9. Keputusan ini menyaksikan perlawanan diheret ke set penentuan.

Set penentuan menyaksikan permainan pantas dan agresif yang dipamerkan Lundgaard-Vestergaard membantu mereka mendahului pada kedudukan 9-5.

Hal ini tidak menghalang Sze Fei-Izzuddin daripada mengejar sebelum mengikat kedudukan 11-11. Lundgaard-Vestergaard bangkit sebelum meraih kemenangan 21-18.

Lundgaard-Vestergaard bakal berentap dengan beregu lelaki nombor satu Perancis, Toma Junior dan Christo Popov dalam pusingan kedua.

Toma-Christo mara selepas menyingkirkan beregu lelaki Scotland, Christopher dan Matthew Grimley. Beregu ke-29 dunia itu menang dengan keputusan 21-17, 21-12.