Bekas beregu lelaki nombor satu dunia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani membuka kempen Malaysia Open 2026 dengan langkah kanan.
Izzuddin-Sze Fei yang juga beregu ketujuh dunia mara ke pusingan kedua dengan menyingkirkan wakil Denmark, Daniel Lundgaard dan Mads Vestergaard.
Beregu kedua Malaysia itu berharap dapat mengembalikan momentum kecemerlangan untuk tahun 2026. Sze Fei-Izzuddin turut mendapat sokongan bekas jaguh beregu negara, Koo Kien Keat.
Beregu negara berharap dapat bangkit bila bertemu Lundgaard-Vestergaard. Ini kerana beregu ke-27 dunia itu dua kali mengecewakan Izzuddin-Sze Fei pada tahun 2025.
Kali terakhir kedua-dua regu bertemu ialah saingan Hylo Open. Lundgaard-Vestergaard mudah mara ke separuh akhir kejohanan itu dengan keputusan 21-9, 21-19.
Set pertama menyaksikan Izzuddin-Sze Fei mendahului beregu Denmark itu pada kedudukan 11-7.
Lundgaard-Vestegaard cuba mengejar tetapi beregu negara terus mendahului sebelum menang dengan keputusan 21-15.
Set kedua menyaksikan kedua-dua beregu bersaing sengit mendapatkan mata. Izzuddin-Sze Fei kemudiannya mendahului pada kedudukan 11-10.
Bekas juara India Open 2025 itu memastikan set kedua dalam genggaman dengan keputusan 21-13.
Izzuddin-Sze Fei akan bertemu sama ada satu lagi wakil negara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri atau wakil England, Ben Lane-Sean Vendy di pusingan kedua.
Mereka menjadi wakil kedua Malaysia mara ke pusingan kedua selepas beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.