Advertisement
Malaysia Open: Tang Jie-Ee Wei Ke Separuh Akhir, Tundukkan Midorikawa-Saito
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Malaysia Open 2025.

Tang Jie-Ee Wei mara selepas menyingkirkan beregu ke-14 dunia dari Jepun, Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito di peringkat suku akhir.

Selepas berjaya menyingkirkan beregu Chinese Taipei, Lu Ming-Che dan Hung En-Tzu, beregu kelima dunia itu semakin bersemangat untuk menempah tiket ke separuh akhir.

Meskipun kedua-dua beregu terikat 2-2 dari segi rekod pertemuan lalu, kelebihan ranking memihak kepada Tang Jie-Ee Wei. Ini kerana mereka berstatus beregu kelima dunia berbanding Midorikawa-Saito (beregu ke-14 dunia).

Set pertama menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mempamerkan permainan mantap di atas gelanggang sambil mendapat sokongan padu penyokong di Axiata Arena.

Ini membolehkan mereka mendahului Midorikawa-Saito pada kedudukan 11-6. Meskipun beregu Jepun itu cuba memberi cabaran, Tang Jie-Ee Wei kekal dominan sebelum menang dengan keputusan 21-11.

Set kedua menyaksikan juara Korea Open 2024 itu terus mengekalkan rentak cemerlang mereka. Pada satu ketika, Tang Jie-Ee Wei mendahului pada 12-5.

Walaupun Midorikawa-Saito berjaya mengurangkan defisit mata, itu tidak cukup menghalang beregu negara daripada meraih kemenangan 21-18.

Kejayaan ini menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mengiringi satu lagi wakil negara dalam beregu campuran, Goh Soon Huat dan Shevon Lai ke separuh akhir.

Soon Huat-Shevon mara dengan menyingkirkan wakil China, Cheng Xing dan Zhang Chi dengan keputusan 21-15, 22-20 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Tang Jie-Ee Wei bakal menanti pemenang antara wakil China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dan wakil Chinese Taipei, Yang Po-Hsuan-Hu Ling Fang di peringkat separuh akhir.