Pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi membuka aksi di Malaysia Open dengan langkah kanan apabila menewaskan Fajar Alfian-Rian Ardianto.
Setelah berehat dengan agak lama, Yew Sin-Ee Yi kembali turun ke gelanggang dengan menjadikan pentas Malaysia Open sebagai aksi pertama dan akan berdepan Fajar-Rian dari Indonesia.
Rekod pertemuan menyaksikan Fajar-Rian mencatatkan 7 kemenangan dalam 12 aksi berdepan Yew Sin-Ee Yi namun pertarungan terakhir di China Open dimenangi oleh beregu negara.
Di awal permainan, Fajar-Rian beraksi baik dengan memimpin set dengan kelebihan 5 mata ke atas Yew Sin-Ee Yi sebelum wakil negara ini mula mendapat rentak untuk mengejar mata lawan.
Walau bagaimanapun, serangan bertali arus oleh pasangan Indonesia ini berjaya memerangkap Yew Sin-Ee Yi sekaligus menutup aksi di set yang pertama dengan kemenangan buat Fajar-Rian.
Permulaan lebih baik ditampilkan oleh Yew Sin-Ee Yi di set kedua apabila turun mengubah sedikit corak permainan dan mengambil peluang di atas setiap kesilapan yang dilakukan lawan.
Lawan yang berada di ranking ke-6 itu berusaha bangkit bagi menekan Yew Sin-Ee Yi namun pasangan negara kekal fokus dan tenang sebelum merampas kemenangan di set kedua.
Di set penentuan, Yew Sin-Ee Yi membuatkan penonton di Axiata Arena tergamam dengan aksi memukau sebelum cemerlang menyingkirkan Fajar-Rian dalam masa 62 minit.
Pertarungan di gelanggang 1 berakhir dengan keputusan 15-21, 21-17, 21-13 memihak Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.
Kemenangan ini membawa Yew Sin-Ee Yi ke pusingan kedua Malaysia Open dan dijadualkan bertemu pemenang di antara beregu Korea Selatan atau Chinese Taipei pada Khamis.