Malaysia semakin hampir mengesahkan kemaraan ke Piala Dunia Hoki 2026 dengan menewaskan China dalam aksi terakhir Kumpulan B.
Aksi terakhir ini cukup penting kerana ini menentukan dua pasukan Kumpulan B yang akan mara ke peringkat separuh akhir Kelayakan Piala Dunia Hoki 2026.
Hanya tiga pasukan terbaik dan pasukan tempat keempat yang memiliki ranking dunia lebih baik saja yang akan layak.
Pengendali The Speedy Tigers, Sarjit Singh menurunkan barisan terkuat termasuk Faizal Saari dan Azrai Aizad Abu Kamal sebagai peledak. Chen Chongcong mengetuai cabaran China.
Fitri Saari membuka tirai jaringan buat The Speedy Tigers menerusi pukulan sudut penalti pada minit kelima.
China bangkit menyamakan kedudukan menerusi Wang Yaqi. Zhao Yulai kemudiannya meletakkan China di depan pada minit ke-16 menerusi penalti stroke.
Pukulan penalti Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-28 memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, Malaysia tampil lebih garang. Giliran Faiz Helmi Jali menyempurnakan pukulan penalti pada minit ke-36.
Malaysia kemudiannya dianugerahkan penalti stroke. Fitri tenang menyempurnakan penalti itu yang menewaskan penjaga gol China, Wang Weihao pada minit ke-43.
Empat minit selepas itu, Faizal mencetak nama sebagai penjaring menerusi gol padang. Yulai kemudiannya mengurangkan defisit gol pada minit ke-51.
Kem Malaysia semakin cemas apabila Chen Benhai menyumbat gol keempat China pada minit ke-54. Pada akhirnya, tiket separuh akhir menjadi milik Malaysia dengan kemenangan 5-4.
Kemenangan itu sudah cukup buat The Speedy Tigers mengiringi Pakistan selaku juara Kumpulan B. Malaysia kini menanti juara Kumpulan A sebagai lawan di peringkat separuh akhir pada 6 Mac.