Malaysia secara rasminya menerima dua slot automatik ke pentas Asia bagi tahun 2026/27.
Kemas kini ini diumumkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengenai pembahagian slot kepada negara bertanding bagi saingan AFC Champions League Elite (ACLE) dan AFC Champions League Two (ACL2), 2026/27.
Kedudukan Ranking MA AFC menyaksikan Malaysia menghuni tangga keenam bagi negara Asia Zon Asia Timur dengan 41.434 mata bagi pertengahan musim 2025-26 susulan mata yang dipungut oleh dua wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.
JDT yang beraksi di ACLE berjaya layak ke peringkat kalah mati saingan elit Asia itu selepas menduduki tangga keenam kumpulan, manakala Selangor beraksi pada peringkat kumpulan ACL2 untuk mengumpul 8.33 mata buat Malaysia.
Prestasi cemerlang dua wakil Malaysia ini memastikan Malaysia terus mendapat satu slot automatik ke ACLE serta satu lagi slot ke pentas ACL2 bagi tahun 2026-27.
Malaysia mengikut jejak langkah Thailand bagi mewakili Asia Tenggara ke pentas tertinggi Asia itu dengan Thailand memperoleh dua slot automatik ACLE dan satu slot play-off ACLE.

Satu wakil Thailand juga bakal menghangatkan saingan ACL2 menerusi pemberian slot automatik selepas menduduki tangga ketiga bagi Zon Asia Timur untuk memperoleh empat slot ke pentas Asia.