Malaysia berpotensi terlepas slot kelayakan tambahan untuk saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Sebelum ini, ACLE dilaporkan bakal mendapat pertambahan pasukan daripada 24 kepada 32 pasukan. Ini sebahagian daripada syor untuk menambah baik kualiti kejohanan berprestij itu.
Kini, The Asian Games melaporkan Malaysia bakal terlepas slot tambahan ke ACLE. Ini susulan syor agihan cadangan pengagihan slot kelayakan ACLE dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) untuk negara-negara ahli (MA) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Negara-negara yang dijangka mendapat slot kelayakan tambahan ACLE ialah Arab Saudi, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Korea Selatan, Qatar, Uzbekistan, Thailand, China, Iran, Australia dan Vietnam.
Arab Saudi, Jepun, Australia dan Vietnam masing-masing akan mendapat slot tambahan untuk perlawanan playoff ACLE. Arab Saudi dan Jepun masing-masing bakal mendapat dua slot.
Australia, Uzbekistan dan Vietnam pula akan menerima satu slot tambahan untuk perlawanan playoff.
Perubahan itu turut menyaksikan slot playoff ACLE Vietnam akan menggantikan slot playoff Liga Cabaran AFC (ACLT) yang diterima negara itu sebelum ini.
UAE, Korea Selatan, Qatar, Thailand, China dan Iran pula akan menerima satu slot tambahan kelayakan secara merit ke ACLE.
Qatar, Thailand, China dan Iran akan menerima slot tambahan ini sebagai ganti kepada slot perlawanan playoff ACLE.
Syor agihan slot kelayakan tambahan ACLE itu dijangka dibentangkan dan disahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Bola Sepak Profesional AFC pada 24 April ini.