Skuad hoki negara membawa skuad ampuh yang bakal bersaing dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Muscat, Oman.
Senarai 18 pemain ini diumumkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) di laman media sosial rasmi mereka hari ini.
Jurulatih skuad negara, Arul Selvaraj masih menaruh kepercayaan kepada barisan pemain senior diketuai Marhan Abdul Jalil.
Selain Marhan, Razie Rahim, Amirul Hamizan Azahar dan Hafizuddin Othman terus diberi kepercayaan membarisi The Speedy Tigers.
Skuad negara turut mendapat suntikan semangat apabila Fitri Saari kembali membarisi pasukan. Beliau sebelum ini terpaksa melupakan Sukan Asia 2023 di Hangzhou akibat kecederaan.
Bagaimanapun, Arul memutuskan untuk tidak memanggil abang Fitri, Faizal Saari walaupun beliau semakin pulih daripada kecederaan.
Sebaliknya, beliau terus memberi kepercayaan kepada Ashran Hamsani, Firhan Ashari, Azrai Aizad Abu Kamal dan Syafiq Sumantri.
Shahril Saabah turut terpilih ke skuad kebangsaan selepas kembali cergas susulan kecederaan yang dialaminya sebelum ini.
Malaysia bakal memulakan kempen kelayakan Sukan Olimpik 2024 dalam Kumpulan A dengan menentang China pada 15 Januari ini.