Manchester United dan Bayern Munich berkemungkinan akan bertukar-tukar jurulatih setelah dua kelab tersebut mempamerkan prestasi yang kurang memberangsangkan pada musim ini.
Dua kelab besar Eropah tersebut mengharungi musim yang sukar sekaligus membuatkan para penyokong kelab menyasarkan kesalahan kepada ketua jurulatih masing-masing, Erik Ten Hag dan Thomas Tuchel.
Masa depan Erik Ten Hag masih menjadi tanda tanya walaupun sebelum ini pemilik bersama Manchester United, Sir Jim Ratcliffe menyatakan jurulatih kelahiran Belanda itu akan terus kekal bersama The Red Devils.
Ini setelah United tewas 4-0 kepada Crystal Palace dan terjatuh hingga ke kedudukan 8 liga sekaligus menyukarkan peluang United untuk bermain dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) mahupun Liga Europa (UEL).
Thomas Tuchel pula sah akan meninggalkan Bayern Munich pada akhir musim ini setelah gagal membantu kelab tersebut menjuarai Bundesliga yang kini jatuh ke tangan Bayern Leverkusen.
Bayern Munich gagal memenangi sebarang piala pada musim ini setelah terlepas kejuaraan liga dan tersingkir dalam DFL-Pokal Supercup dan DFB-Pokal. Bayern masih berpeluang memenangi UCL sekiranya berjaya menyingkirkan Real Madrid dan menewaskan Dortmund dalam perlawanan akhir.
Pengurusan Bayern baru-baru ini telah menghubungi ejen Erik Ten Hag dalam misi mencari ketua jurulatih seterusnya pada musim hadapan setelah Ralf Rangnick menolak jawatan tersebut.
Walaupun Ten Hag telah memberi jawapan bahawa dirinya masih ingin kekal di Old Trafford, prestasi semasa United seakan-akan tidak menjamin jawapan tersebut.
Thomas Tuchel pula mengakui selesa dan suka berada di England sewaktu beliau melatih Chelsea ketika wartawan bertanya tentang kemungkinan Tuchel akan ke Old Trafford.
“Saya pilih untuk tidak menjawab soalan itu tetapi saya akui saya suka sewaktu di Chelsea. Saya sukakan England dan Premier League dan itu masa yang indah buat saya.” jawab Tuchel.
Tidak mustahil jika kedua-dua jurulatih ini akan saling bertukar-tukar kelab sekiranya Ten Hag meninggalkan Manchester United untuk Bayern Munich dan Tuchel pula ingin kembali ke England dengan memilih United.