Man United terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Arsenal 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi pra-musim di Inglewood, California.
Kedua-dua pasukan ingin meneruskan rentak kemenangan dalam kempen pra-musim masing-masing. United berjaya menewaskan Glasgow Rangers dengan Arsenal pula mengatasi cabaran Bournemouth.
The Red Devils menurunkan barisan terkuat termasuk pemain terbaru mereka, Leny Yoro. Sementara pemain tengah Norway, Martin Odegaard mengetuai cabaran The Gunners.
Separuh masa pertama menyaksikan United berusaha mencari kelebihan gol awal ke atas pasukan dari utara London itu.
Gol yang dicari anak buah Erik ten Hag hadir pada minit ke-11 menerusi Rasmus Hojlund. Hojlund mengetepikan cabaran Ayden Heaven sebelum menewaskan penjaga gol Arsenal, Karl Hein.
Tersentak, Arsenal berusaha mendapatkan gol penyamaan. Hasilnya, Gabriel Jesus memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada minit ke-26 meskipun didakwa berada pada kedudukan ofsaid.
Kedua-dua pasukan terus berusaha mendapatkan kelebihan gol tambahan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, United membuat 10 pertukaran pemain dengan Jadon Sancho, Antony dan Christian Eriksen masuk sebagai pemain gantian.
Jesus hampir menggandakan kelebihan Arsenal pada minit ke-58 tetapi berjaya dinafikan penjaga gol Cameroon, Andre Onana.
Sementara Antony pula hampa apabila sepakan lencongnya dari luar kotak penalti pada minit ke-61 langsung tidak menepati sasaran.
Tatkala perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Gabriel Martinelli meletakkan The Gunners di hadapan pada minit ke-81. Martinelli menggunakan kepantasannya untuk mengatasi James Scanlon sebelum menewaskan Onana.
United berusaha untuk menyamakan kedudukan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Meskipun perlawanan berakhir dengan kemenangan 2-1 Arsenal, kedua-dua pasukan menentukan pemenang menerusi sepakan penalti.
Sancho muncul wira The Red Devils apabila meledakkan gol kemenangan menewaskan Hein. Itu cukup untuk memastikan United meraih kemenangan 4-3.
Selepas ini, United akan berdepan Real Betis di Stadium Snapdragon, San Diego pada 1 Ogos. Manakala Arsenal pula berdepan Liverpool di Philadelphia pada 1 Ogos.