Manchester City Lepaskan Kapten Mereka Secara Percuma

Ilkay Gundogan Manchester City Manchester City Lepaskan Kapten Mereka Secara Percuma
The Independent
Nabil Fahmi @nabilfamy
4:56pm 26/06/2023

Kapten Manchester City, Ilkay Gundogan kini sah meninggalkan pasukan itu dan bakal menyertai gergasi Sepanyol, FC Barcelona secara percuma. Perkara tersebut telah dikongsikan oleh wartawan terkenal, Fabrizio Romano dalam satu ciapan twitter terkini beliau.

Gundogan dikhabarkan menandatangani kontrak sebagai pemain baharu Barcelona sehingga tahun 2025. Barcelona mempunyai opsyen untuk menambah kontrak satu tahun lagi selepas tamat kontrak Gundogan kelak.

Gundogan akan pergi ke Barcelona secara percuma selepas tamat kontraknya pada penghujung Jun. Bekas pemain tengah Borussia Dortmund yang berpengaruh itu telah memenangi lima kejuaraan Liga Perdana Inggeris, dua Piala FA, empat Piala Liga dan Liga Juara-Juara dalam tempoh tujuh tahun di City.

Lebih menarik lagi, pemain tengah berusia 32 tahun itu telah membantu Manchester City memenangi kejuaraan treble musim ini sebagai kapten pasukan selepas City berjaya memenangi Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara Eropah.

Dipetik daripada ciapan Twitter Fabrizio Romano, perpindahan Gundogan ke Barcelona diikat dengan klausa pelepasan sebanyak 400 juta euro. Ini bermakna mana-mana kelab yang mahu mendapatkan Gundogan dari Barcelona perlu membayar harga tersebut.