Manchester United menamatkan musim 2023/24 dengan trofi The FA Cup apabila mengatasi cabaran musuh setempat, Manchester City di pentas final hari ini.
City berharap dapat meraih gelaran berganda selepas menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL). Sementara United pula memburu trofi ini selepas kempunan meraihnya pada musim lepas.
The Red Devils kembali diperkuatkan dengan kehadiran Raphael Varane dan Lisandro Martinez. Sementara Erling Haaland ditagih The Citizens untuk merobek gawang United.
City mendakwa mereka sepatutnya dianugerahkan sepakan penalti seawal minit kedua selepas Martinez menjatuhkan Haaland. Dakwaan mereka tidak dilayan pengadil, Andy Madley.
The Citizens bernasib baik apabila bola hantaran ke belakang yang dibuat Mateo Kovacic nyaris dicuri kapten United, Bruno Fernandes. Barisan pertahanan City terus bertindak mengeluarkan bola sebelum gawang mereka bocor.
Penyokong The Red Devils ceria apabila pemain sayap Argentina, Alejandro Garnacho menolak masuk bola ke dalam gawang City yang kosong pada minit ke-30.
Kekeliruan yang tercetus antara penjaga gol City, Stefan Ortega dan Josef Gvardiol pantas direbut Garnacho sebelum menolak bola ke dalam gawang.
City makin derita apabila pemain tengah muda England, Kobbie Mainoo mudah menolak bola melepasi Ortega untuk gol kedua United pada minit ke-39. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, City pantas membuat pertukaran dengan memasukkan Manuel Akanji dan Jeremy Doku.
Pertukaran yang dibuat jurulatih Sepanyol, Pep Guardiola menambah bisa di bahagian serangan The Citizens. Malangnya, gawang United yang dikawal Andre Onana terus menjadi penghalang buat mereka daripada mendapatkan gol.
Percubaan terbaik City hadir pada minit ke-60 menerusi Kyle Walker. Percubaan deras beliau pantas ditepis keluar oleh Onana sebelum menuju ke penjuru atas gol.
Perlawanan kemudiannya menjadi sedikit panas apabila Walker dan Martinez bertelagah pada minit ke-70. Ini selepas bek kanan England itu menuduh bek tengah United itu sengaja melewat-lewatkan permainan kerana lewat keluar padang.
City sekali lagi hampa apabila rayuan penalti mereka tidak dilayan oleh Madley. Ini selepas Haaland mendakwa dirinya dipeluk Mainoo dalam kotak penalti sehingga terjatuh.
City mendapat talian hayat menerusi Doku pada minit ke-87. Walaupun perlawanan dilanjutkan selama tujuh minit, itu sudah terlambat untuk menghalang The Red Devils bergelar juara.
Impak besar yang ditunjukkan kapten United, Bruno Fernandes diiktiraf sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini oleh Sofascore. Fernandes mendapat markah 7.9, 0.1 mata di hadapan Doku.
Kejayaan ini bukan sekadar mengakhiri kemarau The FA Cup buat United sejak edisi 2015/16. Malah, ini sekaligus memenuhi janji pengurus United, Erik ten Hag untuk menghadiahkan trofi tersebut kepada penyokong The Red Devils.