Manchester United sah kembali ke pentas Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan selepas dua musim menyepi.
Pengesahan ini dibuat berdasarkan kiraan mata Manchester United kini yang sudah pun mengumpul 64 selepas berhasil menewaskan Liverpool 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.
Matheus Cunha, Benjamin Sesko dan Kobbie Mainoo muncul penjaring gol untuk tuan rumah meskipun Liverpool memberi tentangan sengit apabila sempat mengikat kedudukan 2-2 di pertengahan aksi.
Kemenangan 3-2 ini mengesahkan kedudukan Manchester United dalam kelompok 5 kelab terbaik EPL dengan berada di tangga ketiga ketika ini dan layak beraksi di pentas UCL musim hadapan.
Untuk rekod, kali terakhir United beraksi di UCL adalah pada musim 2023-2024 yang menyaksikan kelab dari England ini hanya menamatkan saingan di tangga tercorot kumpulan A ketika itu.
Selain United, dua lagi pasukan yang sudah memastikan slot ke UCL musim hadapan adalah Manchester City dan Arsenal yang kini bersaing hebat merebut kejuaraan EPL di kelompok atasan.
Dua lagi slot wakil England ke pentas UCL menjadi rebutan antara Liverpool, Aston Villa, Bournemouth, Brentford dan Brighton dengan berbaki lagi 3 perlawanan sebelum musim menutup tirai.