Manchester United mengambil tindakan drastik dengan memecat jurulatih Portugal, Ruben Amorim.
Berita pemecatan tersebut diumumkan United dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka. Pengurusan kelab melihat ini masa tepat untuk melakukan perubahan.
“Dengan Manchester United berada di tangga keenam EPL, pengurusan kelab dengan berat hati memutuskan ini masa terbaik untuk melakukan perubahan.
“Ini akan memberi peluang terbaik kepada pasukan untuk meraih kedudukan paling tinggi dalam EPL.
“Kelab mengucapkan terima kasih kepada Ruben atas sumbangannya kepada beliau dan mengucapkan selamat berjaya kepada beliau,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Pemecatan Amorim dibuat selepas hubungan antara beliau dan para eksekutif United semakin tegang. Hal ini diburukkan lagi dengan siri kenyataan pedas yang dibuat Amorim selepas aksi menentang Leeds United.
Bekas jurulatih Sporting Lisbon itu bukan saja membidas polisi perpindahan The Red Devils. Malah, Amorim dikatakan mencabar pengurusan United untuk memecatnya dengan baki kontrak 18 bulan.
Ramai penyokong percaya kenyataan-kenyataan itu dilihat sebagai pencetus kepada keputusan drastik United.
Legenda The Red Devils dan Scotland, Darren Fletcher akan memangku tugas sebagai pemangku jurulatih menjelang aksi menentang Burnley.